Sunday 21 October 2012

Peranan Matematik



Dewasa ini, bidang Matematik merupakan satu bidang yang tidak asing lagi di dunia ini. Apabila kita berbicara tentang Matematik, maka kita akan mula mengaitkannya dengan nombor. Berdasarkan carian di laman web Wikipedia, Matematik ini boleh didefinisikan sebagai pembelajaran atau kajian mengenai kuantiti, corak struktur, perubahan dan ruang, atau dalam erti kata lain, kajian mengenai nombor dan gambar rajah. Matematik juga ialah penyiasatan yang menerangkan struktur abstrak menggunakan logik dan simbol matematik. Matematik memainkan peranan yang begitu penting dalam pelbagai aspek di dunia ini. Peranan penting yang ditonjolkan oleh bidang Matematik ini telah membuka mata masyarakat dunia untuk mempelajari Matematik dengan sebaiknya supaya mereka tidak lagi ketinggalan.

Salah satu peranan Matematik ialah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian. Masalah-masalah yang timbul ini mungkin sukar untuk diselesaikan sekiranya masyarakat mempunyai pengetahuan cetek dalam bidang Matematik. Sebagai contoh, sekiranya peniaga dan pembeli tidak tahu untuk membuat pengiraan semasa jual beli sedang berlangsung, maka ini akan menyukarkan kedua-dua belah pihak iaitu pihak peniaga dan pihak pembeli untuk berurusan. Hal ini juga akan menyebabkan masa yang begitu berharga dibuang begitu sahaja kerana mereka perlu mengambil masa yang lama untuk membuat pengiraan. Pengiraan dalam urusan jual beli melibatkan proses Matematik. Oleh itu, untuk menjadi seorang peniaga yang berkaliber, mereka perlulah cekap dalam bidang Matematik. Bidang Matematik bukan sahaja dilihat dalam urusan jual beli, malah ianya juga dapat dilihat semasa ingin memasak. Tanpa pengetahuan Matematik, maka kita tidak akan tahu bagaimana ingin mengambil sukatan yang betul untuk menjadikan masakan kita itu lazat ataupun tidak. Justeru itu, dapatlah kita ketahui bahawa bidang Matematik ini tidak boleh dipandang enteng sekiranya kita belum menguasai sepenuhnya bidang ini kerana ia akan mempengaruhi kehidupan seharian kita.


Disamping itu, bidang Matematik ini juga memainkan peranan dalam bidangbidang ilmu lain seperti bidang Sains, Muzik, Seni dan banyak lagi. Dalam bidang Sains, para Saintis menggunakan ilmu Matematik sebagai tunjang utama dalam memahami sesuatu kejadian dan juga untuk menerangkan kejadian tersebut. Contohnya kejadian siang dan malam, pasang surut air, gerhana matahari, taufan, kelajuan cahaya dan sebagainya. Manakala dalam bidang muzik, operasi Matematik dapat dilihat dalam not-not muzik yang dihasilkan. Setiap not yang dihasilkan ini mewakili frekuensi yang berbeza. Maka setiap not yang digunakan akan menghasilkan bunyi atau nada yang berbeza. Ada yang bernada tinggi danjuga ada yang rendah. Pemuzik yang menghasilkan not-not untuk membentuk sebuah lagu yang boleh membuai perasaan pendengar adalah seorang yang mempunyai pengetahuan yang baik dalam kedua-kedua bidang ini kerana mereka pandai mengaitkan antara Matematik dan Muzik. Matematik juga dapat dikaitkan dengan bidang seni. Bentuk-bentuk yang dihasilkan dalam bidang seni boleh dilihat daripada bentuk-bentuk geometri yang dipelajari dalam Matematik. Justeru, bidang Matematik ini mempunyai peranan yang begitu besar kepada masyarakat dunia kerana ia saling berkait antara satu perkara dengan satu perkara yang lain. Sekiranya sesebuah masyarakat itu menguasai ilmu Matematik ini sepenuhnya, maka ia akan memudahkan mereka untuk melaksanakan sesuatu kerja dengan sebaiknya kerana di dunia ini, ilmu Sains, Matematik, dan sebagainya tidak pernah lari daripada diri manusia.

Selain itu, Matematik juga memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan di Malaysia. Berdasarkan kajian oleh Trends in International Mathematics and Science Study 2003, (TIMMS), ke atas subjek Matematik, pencapaian pelajar Malaysia dalam subjek ini meningkat daripada kedudukan ke-16 ke tempat ke-10 dan mendahului 40 buah negara yang lain termasuk Negara maju seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia dan New Zealand. Situasi ini menunjukkan bahawa pelajar-pelajar di Malaysia ini mungkin menunjukkan minat yang begitu mendalam dalam bidang Matematik. Mereka juga mungkin menyedari bahawa Matematik memainkan peranan yang begitu penting dalam diri mereka. Bidang Matematik boleh menjadikan pelajar lebih seronok dengan proses pembelajaran mereka kerana mereka didedahkan dengan soalan-soalan yang begitu mencabar. Mereka juga tidak akan bosan apabila membuat pengiraan yang melibatkan proses berfikir. Hal ini sekaligus dapat membantu pelajar-pelajar di negara ini yang terdiri daripada pelbagai peringkat untuk menjadi seorang yang lebih kreatif dan dapat menggunakan minda dengan sebaiknya. Namun begitu, masih terdapat segelintir pelajar yang masih belum menyahut cabaran untuk mendalami ilmu Matematik ini dengan sepenuhnya.

Seterusnya, Matematik juga memainkan peranan yang begitu besar dalam bidang ekonomi di seluruh negara bukan hanya di Malaysia sahaja. Masyarakat yang celik Matematik adalah mudah untuk memahami analisis ekonomi yang terkandung di dalamnya. Keputusan yang dibuat dalam pasaran modal, saham dan kewangan banyak berasaskan kepada model Matematik. Pengurus sesebuah syarikat seharusnya mengetahui penggunaan pendekatan Matematik bagi merancang strategi syarikat yang bermatlamatkan keuntungan. Melalui situasi ini dapatlah dilihat bahawa hubungan antara ilmu Matematik dan bidang Ekonomi ini sangat rapat dan boleh diibaratkan seperti isi dengan kuku. Tanpa Matematik, bidang ekonomi di sesebuah negara tidak akan sempurna. Ekonomi negara juga boleh terjejas dan boleh menghuru-harakan masyarakat di sesebuah negara tersebut.

Kesimpulannya, bidang Matematik ini memainkan peranan yang begitu besar dalam kehidupan manusia di dunia ini. Sejak kecil sehinggalah dewasa, kita sentiasa dikelilingi dengan ilmu Matematik. Ilmu ini merentasi pelbagai bidang ilmu yang lain yang juga masih mempunyai kaitan dalam kehidupan seharian masyarakat. Masyarakat dunia yang masih belum menguasai ilmu ini seharusnya bertindak dengan secepat yang mungkin untuk menguasainya. Ibarat kata pepatah ³Sesiapa yang dapat menguasai Matematik dan Bahasa, maka ia dapat menguasai dunia´. Oleh itu, dapatlah kita lihat bahawa betapa pentingnya bidang Matematik kepada masyarakat sejagat.

YeahLeave A Comment

3 comments:

CALCULATOR

Recent Posts

My Blog List

Let's Play Piano