Dewasa ini, bidang Matematik merupakan satu bidang yang tidak asing lagi di dunia ini. Apabila kita berbicara tentang Matematik, maka kita akan mula mengaitkannya dengan nombor. Berdasarkan carian di laman web Wikipedia, Matematik ini boleh didefinisikan sebagai pembelajaran atau kajian mengenai kuantiti, corak struktur, perubahan dan ruang, atau dalam erti kata lain, kajian mengenai nombor dan gambar rajah. Matematik juga ialah penyiasatan yang menerangkan struktur abstrak menggunakan logik dan simbol matematik. Matematik memainkan peranan yang begitu penting dalam pelbagai aspek di dunia ini. Peranan penting yang ditonjolkan oleh bidang Matematik ini telah membuka mata masyarakat dunia untuk mempelajari Matematik dengan sebaiknya supaya mereka tidak lagi ketinggalan.
Salah satu peranan Matematik ialah
untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
Masalah-masalah yang timbul ini mungkin sukar untuk diselesaikan sekiranya
masyarakat mempunyai pengetahuan cetek dalam bidang Matematik. Sebagai contoh,
sekiranya peniaga dan pembeli tidak tahu untuk membuat pengiraan semasa jual
beli sedang berlangsung, maka ini akan menyukarkan kedua-dua belah pihak iaitu
pihak peniaga dan pihak pembeli untuk berurusan. Hal ini juga akan menyebabkan
masa yang begitu berharga dibuang begitu sahaja kerana mereka perlu mengambil
masa yang lama untuk membuat pengiraan. Pengiraan dalam urusan jual beli
melibatkan proses Matematik. Oleh itu, untuk menjadi seorang peniaga yang
berkaliber, mereka perlulah cekap dalam bidang Matematik. Bidang Matematik
bukan sahaja dilihat dalam urusan jual beli, malah ianya juga dapat dilihat
semasa ingin memasak. Tanpa pengetahuan Matematik, maka kita tidak akan tahu
bagaimana ingin mengambil sukatan yang betul untuk menjadikan masakan kita itu
lazat ataupun tidak. Justeru itu, dapatlah kita ketahui bahawa bidang Matematik
ini tidak boleh dipandang enteng sekiranya kita belum menguasai sepenuhnya
bidang ini kerana ia akan mempengaruhi kehidupan seharian kita.
Disamping itu, bidang Matematik ini
juga memainkan peranan dalam bidangbidang ilmu lain seperti bidang Sains,
Muzik, Seni dan banyak lagi. Dalam bidang Sains, para Saintis menggunakan ilmu
Matematik sebagai tunjang utama dalam memahami sesuatu kejadian dan juga untuk
menerangkan kejadian tersebut. Contohnya kejadian siang dan malam, pasang surut
air, gerhana matahari, taufan, kelajuan cahaya dan sebagainya. Manakala dalam
bidang muzik, operasi Matematik dapat dilihat dalam not-not muzik yang
dihasilkan. Setiap not yang dihasilkan ini mewakili frekuensi yang berbeza.
Maka setiap not yang digunakan akan menghasilkan bunyi atau nada yang berbeza.
Ada yang bernada tinggi danjuga ada yang rendah. Pemuzik yang menghasilkan
not-not untuk membentuk sebuah lagu yang boleh membuai perasaan pendengar
adalah seorang yang mempunyai pengetahuan yang baik dalam kedua-kedua bidang
ini kerana mereka pandai mengaitkan antara Matematik dan Muzik. Matematik juga
dapat dikaitkan dengan bidang seni. Bentuk-bentuk yang dihasilkan dalam bidang
seni boleh dilihat daripada bentuk-bentuk geometri yang dipelajari dalam
Matematik. Justeru, bidang Matematik ini mempunyai peranan yang begitu besar kepada
masyarakat dunia kerana ia saling berkait antara satu perkara dengan satu
perkara yang lain. Sekiranya sesebuah masyarakat itu menguasai ilmu Matematik
ini sepenuhnya, maka ia akan memudahkan mereka untuk melaksanakan sesuatu kerja
dengan sebaiknya kerana di dunia ini, ilmu Sains, Matematik, dan sebagainya
tidak pernah lari daripada diri manusia.
Selain itu, Matematik juga memainkan
peranan penting dalam bidang pendidikan di Malaysia. Berdasarkan kajian oleh
Trends in International Mathematics and Science Study 2003, (TIMMS), ke atas
subjek Matematik, pencapaian pelajar Malaysia dalam subjek ini meningkat
daripada kedudukan ke-16 ke tempat ke-10 dan mendahului 40 buah negara yang
lain termasuk Negara maju seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS),
Australia dan New Zealand. Situasi ini menunjukkan bahawa pelajar-pelajar di
Malaysia ini mungkin menunjukkan minat yang begitu mendalam dalam bidang
Matematik. Mereka juga mungkin menyedari bahawa Matematik memainkan peranan
yang begitu penting dalam diri mereka. Bidang Matematik boleh menjadikan
pelajar lebih seronok dengan proses pembelajaran mereka kerana mereka
didedahkan dengan soalan-soalan yang begitu mencabar. Mereka juga tidak akan
bosan apabila membuat pengiraan yang melibatkan proses berfikir. Hal ini
sekaligus dapat membantu pelajar-pelajar di negara ini yang terdiri daripada
pelbagai peringkat untuk menjadi seorang yang lebih kreatif dan dapat
menggunakan minda dengan sebaiknya. Namun begitu, masih terdapat segelintir
pelajar yang masih belum menyahut cabaran untuk mendalami ilmu Matematik ini
dengan sepenuhnya.
Seterusnya, Matematik juga memainkan
peranan yang begitu besar dalam bidang ekonomi di seluruh negara bukan hanya di
Malaysia sahaja. Masyarakat yang celik Matematik adalah mudah untuk memahami
analisis ekonomi yang terkandung di dalamnya. Keputusan yang dibuat dalam
pasaran modal, saham dan kewangan banyak berasaskan kepada model Matematik.
Pengurus sesebuah syarikat seharusnya mengetahui penggunaan pendekatan
Matematik bagi merancang strategi syarikat yang bermatlamatkan keuntungan.
Melalui situasi ini dapatlah dilihat bahawa hubungan antara ilmu Matematik dan
bidang Ekonomi ini sangat rapat dan boleh diibaratkan seperti isi dengan kuku.
Tanpa Matematik, bidang ekonomi di sesebuah negara tidak akan sempurna. Ekonomi
negara juga boleh terjejas dan boleh menghuru-harakan masyarakat di sesebuah
negara tersebut.
Penerangan yang jelas dan berguna.
ReplyDeletebagus..:)
ReplyDeletebtl tu...
ReplyDelete