Dewasa ini, bidang Matematik merupakan satu bidang yang tidak asing lagi di dunia ini. Apabila kita berbicara tentang Matematik, maka kita akan mula mengaitkannya dengan nombor. Berdasarkan carian di laman web Wikipedia, Matematik ini boleh didefinisikan sebagai pembelajaran atau kajian mengenai kuantiti, corak struktur, perubahan dan ruang, atau dalam erti kata lain, kajian mengenai nombor dan gambar rajah. Matematik juga ialah penyiasatan yang menerangkan struktur abstrak menggunakan logik dan simbol matematik. Matematik memainkan peranan yang begitu penting dalam pelbagai aspek di dunia ini. Peranan penting yang ditonjolkan oleh bidang Matematik ini telah membuka mata masyarakat dunia untuk mempelajari Matematik dengan sebaiknya supaya mereka tidak lagi ketinggalan.
Salah satu peranan Matematik ialah
untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
Masalah-masalah yang timbul ini mungkin sukar untuk diselesaikan sekiranya
masyarakat mempunyai pengetahuan cetek dalam bidang Matematik. Sebagai contoh,
sekiranya peniaga dan pembeli tidak tahu untuk membuat pengiraan semasa jual
beli sedang berlangsung, maka ini akan menyukarkan kedua-dua belah pihak iaitu
pihak peniaga dan pihak pembeli untuk berurusan. Hal ini juga akan menyebabkan
masa yang begitu berharga dibuang begitu sahaja kerana mereka perlu mengambil
masa yang lama untuk membuat pengiraan. Pengiraan dalam urusan jual beli
melibatkan proses Matematik. Oleh itu, untuk menjadi seorang peniaga yang
berkaliber, mereka perlulah cekap dalam bidang Matematik. Bidang Matematik
bukan sahaja dilihat dalam urusan jual beli, malah ianya juga dapat dilihat
semasa ingin memasak. Tanpa pengetahuan Matematik, maka kita tidak akan tahu
bagaimana ingin mengambil sukatan yang betul untuk menjadikan masakan kita itu
lazat ataupun tidak. Justeru itu, dapatlah kita ketahui bahawa bidang Matematik
ini tidak boleh dipandang enteng sekiranya kita belum menguasai sepenuhnya
bidang ini kerana ia akan mempengaruhi kehidupan seharian kita.