Aktiviti yang mudah dan
menyeronokkan ini pasti dapat mencungkil kreativiti pelajar anda di samping
mereka belajar tentang masa dan waktu.
Pada akhir aktiviti ini,
pelajar akan dapat menggunakan istilah-istilah berkaitan masa dalam kehidupan
seharian, mengkategorikan aktiviti-aktiviti mengikut tempoh masa tertentu dan
juga menyusun aktviti-aktiviti ini mengikut tempoh masa ia dilakukan.
Topik: Masa dan Waktu / KSSR Matematik
Tahun 1 dan 2, KBSR Matematik Tahun 3
Apakah yang diperlukan: Pen penanda, kertas mahjong, jam dinding yang besar
Apakah yang perlu dilakukan:
1. Guru memperkenalkan tentang
masa dan waktu dan menunjukkan bagaimana jam memberi kita informasi tentang
masa.
2. Guru membahagikan pelajar
kepada beberapa kumpulan, sekurang-kurangnya 5 orang dalam satu kumpulan.
Agihkan kertas mahjong dan pen penanda kepada setiap kumpulan.
3. Tugas setiap kumpulan untuk
menulis seberapa banyak aktiviti yang boleh dilakukan dalam masa satu minit.
Semua idea yang mereka lontarkan harus ditulis di atas kertas mahjong. Jika
mereka menghadapi masalah menjana idea, guru boleh membantu dengan memberi
contoh seperti; "memakai stoking", "mengikat tali kasut"
dan "menyikat rambut".
4. Apabila mereka telah
bersedia, wakil kumpulan akan memilih satu aktiviti untuk didemonstrasi sebagai
bukti bahawa ia mengambil masa selama 1 minit untuk dilakukan.
5. Apabila semua wakil kumpulan
sudah bersedia, guru sebagai penjaga masa memberi isyarat bahawa satu minit
sudah bermula dan semua wakil kumpulan dengan serentak melakukan "aktiviti
1 minit" mereka. Sebagai penjaga masa, guru juga digalakkan untuk
memberitahu kelas tentang jarak waktu yang tertentu. Contohnya, "10 saat
sudah berlalu", "30 saat sudah berlalu", "setengah minit
sudah berlalu", "kamu ada masa lagi 15 saat" dan sebagainya.
Pastikan pergerakan jarum jam boleh dilihat oleh semua orang.
6. Ulangi aktiviti ini dengan
"Aktiviti 2 minit", "Aktiviti 20 saat", "Aktiviti 5
minit" dan sebagainya; mengikut budi bicara guru.
7. Disebabkan oleh kekangan
masa dan kerana aktiviti yang memakan masa yang lama tidak praktikal untuk
dilakukan di kelas, guru boleh cetuskan perbincangan tentang aktiviti yang
mengambil masa yang lebih lama seperti, 1 jam, 24 jam (1 hari), dan sebagainya.
Uji pemahaman pelajar tentang pelbagai masa yang telah dibincangkan.
8. Guru juga boleh membuat
demonstrasi dengan menggunakan jam dinding tadi supaya pelajar faham tentang
jangka waktu tertentu yang disebutkan tadi iaitu "10 saat sudah
berlalu", "30 saat sudah berlalu", "setengah minit sudah
berlalu", "kamu ada masa lagi 15 saat" dan sebagainya.
Tip:
Tampalkan
hasil kerja pelajar di dinding kelas. Tinggalkan pen penanda untuk mereka boleh
menulis dengan banyak lagi aktviti yang boleh dilakukan dalam masa yang
ditentukan.